Showing posts with label CERPEN TELADAN. Show all posts
Showing posts with label CERPEN TELADAN. Show all posts

Kisah Tiga Budak Hitam


Pada zaman dahulu kala di era wujudnya lagenda burung garuda dan naga, terdapat tiga orang budak hitam yang bersahabat rapat antara satu sama lain. Tiga budak hitam itu bernama Buntal, Montel dan Debab. Mereka bertiga sering bersama-sama untuk pergi ke mana-mana.
Pada suatu hari ketika mereka bertiga bersiar-siar di tepi pantai Tanjung Pulasan sambil menghirup udara segar, tiba-tiba Buntal, Montel dan Debab ternampak seorang nenek tua bongkok tiga terjelepok jatuh ketika cuba turun dari sampan. Berlari-larilah mereka bertiga mendapatkan nenek tua tersebut dengan niat untuk memberi bantuan.
Buntal, Montel dan Debab memapah nenek tua tersebut ke bawah pohon Kelapa Laut Afrika dan mengangkat barang-barang kepunyaan nenek tua itu dari sampan tersebut. Berkatalah nenek tua itu, "Terima kasih cucu bertiga, budi baik cucu-cucu sekalian takkan nenek lupakan."
Si Buntal bertanya, "Nenek ni siapa? Apa hajat nenek ke negeri ini?"
Maka jawab nenek tua itu, "Panggil saja nenek ni Wan Limah, nenek ni pengembara."
"Oh... pengembara. Jadi Wan Limah mesti banyak ilmu di dada," kata Si Montel.
"Sikit-sikit tu adalah...sebagai balasan nenek akan kabulkan tiga permintaan kamu bertiga sekadar kemampuan nenek," kata Wan Limah dengan penuh yakin.
"Ini sudah bagus!!!" Jawab Si Debab dengan kegembiraan.
"Oleh kerana aku yang paling tua, jadi aku berhak membuat permintaan pertama," kata Si Buntal. Si Montel dan Si Debab mengangguk tanda setuju.
"Wan Limah... saya teringin nak jadi putih macam orang-orang di negeri atas angin," kata Si Buntal.
"Nak jadi putih melepak? Nah...ambil ubat sapu ni," jawab Wan Limah sambil menghulurkan ubat sapu tersebut. Si Buntal terus menyapu ubat tersebut ke mukanya dan tiba-tiba seluruh kulitnya bertukar menjadi putih.
Apabila melihat kejadian itu dengan cepat Si Montel berkata, "Wan Limah... saya nak jadi lebih putih daripada Si Buntal tu!"
"Nak jadi lagi putih? Nah cuba ubat sapu ni," kata Wan Limah. Si Montel pun menyapu ubat tersebut ke mukanya dan seperti yang diminta Si Montel menjadi lebih putih berbanding Si Buntal.
"Wan Limah... saya nak jadi lebih putih daripada Si Buntal dan Si Montel," minta Si Debab kepada Wan Limah.
"Minta maaf cu...nenek tak ada ubat sapu tu...dah habis stok," jawab Wan Limah.
"Kalau begitu berikan saya ubat sapu yang boleh menghitamkan kulit," Si Debab meminta lagi.
"Aik? Nak buat apa? Kan cucu dah hitam? Takpalah. Nah! Ambil ubat sapu penghitam kulit ni," kata Wan Limah.
Dengan sepantas kilat Si Debab menyapu ubat sapu penghitam kulit tersebut ke muka Si Buntal dan Si Montel. Maka jadilah Si Buntal dan Si Montel hitam seperti sediakala.
Tiba-tiba dengan sekelip mata Wan Limah pun menghilangkan diri.
- Tamat -

Kisah Balang Kaca


Seorang pensyarah di Kolej Safir yang bernama Dr. Izwan kelihatan sudah bersedia memulakan kelas falsafah beliau. Suasana di dewan kuliah sunyi sepi dan para pelajar nampaknya sudah bersedia mendengar syarahan daripada Dr. Izwan.
Kelihatan di atas meja Dr. Izwan terdapat sebuah balang kaca yang besar dan secawan air kopi yang sungguh harum aromanya. Tanpa berkata apa-apa, Dr. Izwan meletakkan beberapa biji bola golf ke dalam balang kaca tersebut sehingga penuh. Kemudian, Dr. Izwan bertanya, "Wahai para pelajarku, adakah balang kaca ini sudah penuh?"
Para pelajarnya menjawab, "Ya, balang kaca itu sudah penuh."
Kemudian, Dr Izwan memasukkan beberapa biji manik ke dalam balang tersebut dan menggoncangkannya. Manik-manik tersebut mengisi ruang-ruang kosong di celah-celah bola golf di dalam balang tersebut. Dr. Izwan bertanya lagi, "Wahai para pelajarku, adakah balang kaca ini sudah penuh?"
"Ya," jawab para pelajarnya.
Kemudian, Dr. Izwan mengisi pula balang tersebut dengan pasir pula. Dengan mudah pasir-pasir tersebut mengisi ruang-ruang yang masih ada di dalam balang kaca tersebut. Dr. Izwan tanpa segan silu bertanya lagi, "Wahai para pelajarku, adakah balang kaca ini sudah penuh?"
"Ya," jawab para pelajarnya yang nampaknya agak keliru dan terasa seperti diperbodohkan.
Kemudian, dengan yakin Dr. Izwan mengisi balang kaca tersebut dengan air kopinya. Kedengaran suara seperti orang ketawa kecil. Suasana di dalam dewan kuliah mula hingar-bingar seketika. Dr. Izwan sambil tersenyum sinis bertanya, "Adakah balang kaca ini sudah penuh?"
Para pelajarnya menjawab, "Ya, sudah penuh."
Seorang pelajar Dr. Izwan mengangkat tangan sambil bangun dan bertanya, "Kenapakah Dr. Izwan berbuat demikian?"
"Baiklah saya akan terangkan sebabnya... balang kaca ini melambangkan kehidupan kita semua. Bola golf itu pula melambang perkara-perkara yang paling penting yang perlu diisi ke dalam kehidupan kamu seperti agama kamu, amal ibadah, pelajaran, ibu bapa, keluarga dan sekiranya tiada perkara lain pun kehidupan kamu tetap juga penuh. Manik-manik kecil itu pula umpama perkara-perkara keperluan kamu seperti rumah, kereta, pangkat dan sebagainya. Begitu juga pasir tersebut melambangkan perkara-perkara kecil yang lain dalam kehidupan kamu," jawab Dr. Izwan dengan yakin dan gayanya yang tersendiri.
"Cuba kamu bayangkan jika balang kaca tersebut diisi bermula dengan pasir, sudah tentu ruang untuk bola golf dan manik amat terbatas. Begitulah juga kehidupan, jika kita hanya menghabiskan tenaga dan masa hanya kepada perkara kecil dan remeh... pasti dan pasti kita tiada lagi ruang masa dan tenaga untuk perkara-perkara yang penting dan bermanfaat," Dr. Izwan menyambung.
Tiba-tiba seorang pelajarnya bertanya, "Habis... air kopi tu melambang apa pula?"
Sambil tersenyum Dr. Izwan menjawab, "Walau sesibuk mana pun kamu semua, ketahuilah bahawa kamu masih lagi punya waktu untuk minum secawan kopi bersama ibu bapamu."
Wahai kawan-kawanku sekalian... jika kita berasa kehidupan ini terlalu banyak perkara yang perlu diuruskan sehingga anda merasakan masa selama 24 jam itu tidak cukup... sebenarnya kitasilap!
Berfikirlah dengan akal berpandukan Iman di dalam hati... tentukan yang mana satukah prioriti. Jangan lupa fahami sedalam-dalamnya tafsiran surah Al-'Asr!